JULAI 2021

MOF, Pemimpin Kerajaan GPS Bersama Pada Sesi Libat Urus PPN


KUCHING, Selasa: Suatu sesi libat urus dan perbincangan secara maya telah diadakan antara Kementerian Kewangan Malaysia dengan para pemimpin kerajaan GPS Sarawak mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) lewat petang tadi dengan tujuan untuk memperkukuhkan keberkesanan PPN. 

Sesi satu jam tersebut dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz yang juga Menteri Penyelaras PPN. 

Pihak Sarawak diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar James Jemut Masing (Presiden PRS) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian (Pengerusi SUPP) dan Menteri Muda, Datuk Dr. Penguang Manggil, mewakili Presiden PDP. 

Pihak Kerajaan Sarawak telah memberi beberapa input dari perspektif Sarawak ke arah memperkukuhkan ekonomi negeri dengan mengambil kira impak pandemik Covid-19 dan sumbangan kepada ekonomi nasional.

Antara perkara-perkara yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri dan Menteri berdasarkan portfolio masing-masing termasuk program pemberian vaksin di Sarawak yang sedang berjalan dengan lancar, program pembangunan infrastruktur, pembangunan infrastruktur ICT, industri pengeluaran dan pelaburan asing, sebagai teras untuk mempertingkatkan ekonomi Sarawak. 

Faktor teras juga merangkumi potensi pertanian berdasarkan IOT dan ekonomi berasaskan kelestarian sumber dan keselamatan di perbatasan yang amat panjang antara Sarawak dan Kalimantan yang mempunyai kesan yang mendalam ke atas sosio-ekonomi Sarawak.

Juga telah disentuh mengenai pelaksanaan fasa-fasa PPN yang harus disesuaikan dengan keadaan di Sarawak yang hampir sama besar dengan Semenanjung.

Sumber dari : Sarawakku